Powered By Blogger

Tuesday, 8 January 2013

Falsafah dan Sains

PENDAHULUAN 

Falsafah merupakan induk atau asas kepada segala ilmu. Para ahli falsafah turut membahagikan falsafah kepada beberapa cabang ilmu utama iaitu epistemologi juga metafizika yang merangkumi ilmu ontologi, kosmologi, teologi metafizik dan antropologi. Selain itu, logika, etika, estetika dan falsafah tentang pelbagai disiplin ilmu juga adalah cabang falsafah yang ditonjolkan oleh para ahli falsafah. 

Dalam mencari hubungan antara falsafah dengan ilmu sains. Terlebih dahulu dapat disimpulkan bahawa ilmu sains merupakan salah satu bidang yang muncul berlandaskan kepada falsafah kerana falsafah adalah bersifat menyeluruh dalam kajiannya. 

Teori-teori dalam cabang ilmu falsafah iaitu epistemologi seperti teori fenomena, fiksyen, skeptisme dan realisme membantu menyelesaikan persoalan sains. Dalam huraian selanjutnya, akan dijelaskan sejauh mana hubungan antara falsafah dengan ilmu sains. 

FALSAFAH 

Definisi 


Pengertian falsafah dapat dilihat dalam dua bentuk iaitu dalam bentuk pengertiannya dari sudut bahasa dan istilah. Perkataan ‘falsafah’ berasal daripada perkataan arab. Menurut Al-Farabi yang merupakan ahli falsafah besar pada zaman Tamadun Islam perkataan arab tersebut berasal daripada perkataan Yunani yang apabila ditranskripsikan menjadi philosophia hasil gabungan frasa ‘philo’ dan ‘sophia’. Philosophia bermakna hasil kecitaan kepada kebijaksanaan, atau ilmu kecitaan kepada kebijaksanaan, atau ilmu kecitaan kepada kebenaran, atau ilmu kecitaan kepada hikmah.

Dari sudut istilahnya pula, mengikut pendapat Russell (1946), falsafah adalah sebagai sesuatu fahaman atau pengertian di antara teologi dan sains, Hal ini adalah kerana, seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi terhadap perkara yang belum tepat dibuktikan. Manakala melalui pendekatan sains, falsafah pula berusaha menggunakan taakulan dan logik untuk membuktikan fahamannya.

E. D. Miller dalam bukunya Question That Matter (1984), mendefinisikan falsafah sebagai usaha untuk berfikir secara rasional dan kritis terhadap perkara-perkara yang penting. Ahli falsafah terkenal Yunani iaitu Plato telah mendefinisikan falsafah sebagai suatu ilmu pengetahuan yang berusaha meraih kebenaran asli dan murni malahan juga mengatakan bahawa falsafah adalah penyelidikan tentang sebab-sebab dan asas-asas yang paling akhir daripada segala sesuatu yang ada.

Pada zaman Tamadun Islam, Al-Farabi (870-950) menegaskan falsafah sebagai ilmu mengenai kewujudan, yang tidak bercangggah dengan agama bahkan sama-sama memuja kepada kebenaran, yang bertujuan untuk mengetahui Yang Maha Esa. Ibnu Rusyd (1126-1198) mendefinisikan falsafah sebagai penyelidikan tentang alam wujud dan memandangnya sebagai jalan untuk menemui Maha pencipta segala ciptaan.

Cabang-Cabang Ilmu Falsafah 

The World University Encyclopedia membahagikan falsafah kepada beberapa cabang-cabang ilmu seperti sejarah falsafah, metafizika, epistemologi, logika, etika dan estetika. Selain itu, falsafah juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu falsafah sistematik dan sejarah falsafah.

Falsafah sistematik adalah bertujuan untuk membentuk dan memberikan landasan kepada pemikiran. Dalam bahagian ini meliputi gagasan ilmu berbentuk logik, metodologi, epistemologi, falsafah ilmu, etika, estetika, metafizika, teologi iaitu falsafah ketuhanan, falsafah manusia dan kelompok falsafah khusus seperti falsafah sejarah, hokum, komunikasi dan sebagainya.

Manakala sejarah falsafah adalah merupakan bahagian yang berusaha meninjau pemikiran falsafah sepanjang masa. Sejak dari zaman kuno sehingga zaman moden, bahagian ini meliputi sejarah falsafah Yunani atau Barat, India, Cina dan juga sejarah falsafah Islam. Pada zaman Tamadun Islam, ahli falsafah Islam seperti Al-Kindi dan Al-Farabi masing-masing mempunyai pendapat berbeza dalam pembahagian cabang falsafah.

Al-Kindi (796-873) telah membahagikan falsafah kepada tiga cabang iaitu sains fizik yang merupakan peringkat terendah, sains matematik yang berkedudukan peringkat pertengahan dan yang terakhir sains ketuhanan yang merupakan peringkat tertinggi. Manakala Al-Farabi (870-950) membahagikan falsafah kepada dua cabang iaitu teori dan amali. Teori meliputi matematik, fizik dan metafizik manakala amali merangkumi ilmu akhlak atau etik.

Disamping itu, jika diperhatikan kebanyakan ahli falsafah dan tampak di dalam penulisan-penulisan mengenai falsafah sering kali membahagikan falsafah kepada lima cabang utama iaitu logik, epistemologi, etika, estetika dan metafizik. Pembahagian yang dibuat jelas tampakkan cabang falsafah dari pelbagai sudut.

Logik, adalah cabang falsafah yang menyelidik tentang pemikiran manusia. Logik adalah merupakan asa-asas yang menentukan pemikiran yang lurus, tepat dan sihat. Dengan mempelajari kaedah-kaedah logik diharapkan dapat menerapkan asas sehingga dapat membuat kesimpulan dengan tepat. Dalam pengertian yang sempit, logik ialah kajian terhadap prinsip-prinsip deduksi, kaedah-kaedah pembuktian dan juga kaedah demonstrasi.

Epistemologi, adalah bahagian falsafah yang membicarakan tentang terjadinya pengetahuan, sumber pengetahuan, bermulanya pengetahuan, batasan, sifat, metod dan kesahihan terhadap pengetahuan. Dalam membuat penyelesaian terhadap masalah berkenaan ilmu sains, epistemologi mengemukakan beberapa teori iaitu teori fenomena, fiksyen, skeptisme dan realism.

Metafizik, adalah cabang falsafah yang membicarakan tentang yang wujud atau membicarakan sesuatu di sebaliknya. Persoalan metafizik dibezakan menjadi tiga iaitu ontologi, kosmologi dan antropologi. Dalam bidang ilmu sains, metafizik menggunakan bahasa untuk menerangkan gambaran tentang struktur bahan yang dikaji. Teori ini penting dalam menerangkan ujikaji sains.

Etika, adalah cabang falsafah yang membicarakan tentang tingkah laku atau perbuatan manusia dalam hubungannya yang baik atau buruk manakala estetika pula adalah cabang falsafah yang membicarakan tentang keindahan.

Walaupun banyak perbezaan pendapat mengenai pembahagian cabang ilmu falsafah. Namun begitu, kebanyakan ahli falsafah dan di dalam penulisan-penulisan mengenai ilmu falsafah, kebanyakannya membahagikan cabang falsafah kepada logik, epistemologi, etika, estetika dan metafizik. Jika diperhatikan, Cabang-cabang ilmu falsafah ini banyak membantu kepada penyelesaian masalah sains.

Ciri-Ciri Falsafah 


Menurut Drs. Suyadi MP dan Drs. Sri Suprapto Widodonongrat cirri-ciri falsafah adalah menyeluruh, mendasar dan spekulatif. Manakala Sunoto menyebutkan ciri-cirinya adalah deskriptif, kritikal atau analitikal, evaluatif atau normatif, spekulatif dan sistematik.


ILMU SAINS 

Definisi 

Frasa kata ‘sains’ boleh dilihat sudut pengertiannya dalam dua bentuk iaitu melalui sudut bahasa dan istilah. Ilmu sains merupakan sebuah proses pengumpulan ilmu atau maklumat dan penyusunannya. Perkataan ‘sains’ berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘scientia’ yang bermaksud mendapatkan ilmu atau maklumat. Dalam bahasa Melayu dan Indonesia, pada mulanya perkataan sains tidak begitu digunakan dan sebagai gantinya mereka memakai perkataan ‘ilmu’ sahaja. Sehingga kini dalam bahasa Arab dan Indonesia menggunakan perkataan ilmu dengan makna sains.

Pengelasan ilmu mengikut tradisi Islam amatlah berbeza daripada tradisi lain. Tidak hairanlah Rosenthal, mendapati ratusan takrif ilmu mengikut pelbagai mazhab dalam tradisi Islam. Takrif ilmu mengikut perspektif Islam masih mampu menarik perhatian sarjana Islam kontemporari seperti Syed Muhammmad Naquib Al-Attas yang telah memberi takrifan ilmu yang cukup tajalli (profound) apabila beliau menyatakan ‘ilmu’ secara espistemologi, dengan bersumberkan kepada tuhan sebagai sumber asalnya sehingga sampai makna ke dalam diri sendiri. Dengan acuan kepada diri sendiri sebagai pentafsir dan penerima.

Takrif sains yang popular, pertamanya sains adalah merupakan ilmu pengetahuan yang bersistem yang berdasarkan kepada cerapan, kajian, pengeksperimenan atau uji kaji dan sebagainya. Keduanya, sains juga berupa pengetahuan daripada nalaran atau taakulan, naakulan dan mantik gunaan. Selain itu, juga sains merupakan longgokan teknik, kemahiran, kebolehan berasas kepada latihan, disiplin dan pengalaman malahan sains juga berupa analisis fenomena secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah yang khusus yang dipraktikkan untuk mewujudkan tumpuan pengetahuan yang boleh dipercayai.

Bidang-Bidang Ilmu Sains 

Ilmu Sains terbahagi kepada dua bidang ilmu iaitu ilmu sains sosial dan tulen. Sains Tulen (Natural Science) adalah merupakan penggunaan kaedah saintifik untuk mengkaji benda-benda nyata di bumi ini. Bidang ini merangkumi bidang ilmu astronomi, biologi dan perubatan, fizik, kimia, sains bumi dan juga sains komputer.

Sains Sosial pula adalah merupakan penggunaan kaedah saintifik untuk mengkaji bidang kemanusiaan di dunia ini. Ia juga dikenali sebagai kajian sosial. Bidang ini merangkumi bidang ilmu antropologi, ekonomi, ekologi, etimologi, komunikasi, linguistik, psikologi, sosiologi dan pendidikan.

Hubungan Falsafah dengan Sains 

Sains pada pada awalnya merupakan sebahagian daripada cabang falsafah kerana falsafah merupakan induk bagi segala ilmu pengetahuan yang ada. Falsafah dan sains mengalam perubahan dimana subjek sains dan falsafah itu telah berkembang dan mempunyai cabang-cabangnya tersendiri.

Oleh sebab itu, sebahagian dari subjek sains telah memisahkan diri daripada falsafah dan berdiri sebagai satu disiplin ilmu yang tersendiri sepertimana ilmu fizik, ilmu matematik, ilmu kimia dan ilmu mengenai biologi.

Sains dan falsafah masing-masing berperanan mencari ilmu pengetahuan.akan tetapi ilmu pengetahuan yang dapat diberi oleh sains terhad kepada fenomena ilmu fizik sahaja, manakala ilmu falsafah menghuraikan tentang hakikat disebalik alam fizik.

Persamaan Falasafah dan Sains

Falsafah dan sains sama membahaskan tentang suatu hakikat, akan tetapi kedua-dua hakikat itu adalah berbeza dari makna yang sebenarnya. Selain itu, falsafah dan sains akan menghasilkan sesuatu natijah dari apa yang dikaji dan kedua-dua tidak terpenagruh oleh mana-mana unsur luar yang boleh menggugat hasil kajian.

Objek material sains ialah alam dan manusia,objek material bagi falsafah juga perkara yang sama iaitu alam dan manusia tambah dengan perkara yang lainnya iaitu masalah ketuhanan. Sains menggunakan kaedah tersendiri mencari kebenaran tentang alam dan manusia serta apa yang ada didalamnya.

Falsafah juga menggunakn kaedah tersendiri pula hampiri pada kebenaran,baik tentang alam mahupun tentang manusia ( yang belum/tidak dapat dijawab oleh ahli sains kerana ianya berada diluar jangkaunya ataupun tentang masalah ketuhanan.

Perbezaan Falsafah dan Sains 
Bidang kajian sains tentang alam (al-kawn) dari sudut yang khusus dimana ahli dains mengkaji satu juzuk alam yang tertentu cabang-cabang tertentu contohnya tentang alam tumbuhan, planet, langit dan bumi dalam bentuk ilmu-ilmu cabang dari sudut sifatnya sahaja. Sedangkan falsafah membahasakan secra keseluruhan dengan pandangan yang menyeluruh (universal) dan kaiannya dari sudut pengertian dan maksudnya. 

Pengamatan sains adalah pengamatan dari sudut luaran sahaja iaitu apa yang dapat dirasai dan disaksikan sahaja. Sedangkan falsafah melihatnya dai sudut luaran hingga lah dari sudut dalaman zat itu.huraian sampai kepada hakikat yang wujud tersembunyi disebalaik yang zahir misalnya membicarakan dari sudut estetikanya dan akhlaknya.

Bagi sains, persoalan yang biasa diutarakan ialah “bagaimana/how” satu peristiwa yang berlaku. Bagi falsafah pula, persoalan yang biasa dikemukan ialah “kenapa/why”. Jawapan ahli falsafah lebih tinggi kerana menghuraikan sebab kejadiannya.

Sains hanya membicarakan tentang sebab-sebab yang hampir pada persekitarannya sahaja. Falsafah pula membicarakan tentang sebab ynag utama yang jauh dan menjadi pendorong sebab yang lain iaitu mengaitkan apa yang berlaku di alam fizik dengan alam metafizik.

Sains mencari kebenaran denagn jalan penyelidikan (research), pengalaman dan percubaan (experiment). Falsafah hampiri kebenaran dengan mengunakan akal budi secara radikal dan menyeluruh serta universal serta menggunakan pengamatan akal.

Sains sering membicarakan perkara-perkara yang sudah sedia ada seperti mengkaji penyakit HIV yang telah sedia ada. Manakala falsafah pula membicarakan perkara-perkara yang sepatutnya berlaku seperti ilmu mantik, akhlak dan estetika. 

Perkembangan sains terlalu cepat, banyak cabang ilmu dalam bidang sains ditemui serta banyak penemuan baru dicapai. Perkembangan falsafah amatlah perlahan kerana bebanan falsafah amatlah berat dan luas sekali bidangnya kerana falsafah adalah induk segala ilmu.

Bidang kajian sains berbeza dengan bidang kajian falsafah kerana bidang sains ialah alam tabi’i manakala bidang falsafah meliputi sains itu sendiri. Selain itu, kebenaran sains adalah kebenaran yang bersifat positif, manakala kebenaran falsafah adalah kebenaran yang bersifat spekulatif iaitu dugaan yang tidak dapat di buktikan secara empirik dan eksperimen.

Pendapat Ahli Falsafah Mengenai Hubungan Falsafah dan Ilmu Sains 

Walaubagaimanapun sains dan falsafah saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam masalah ini Louis O. Kattsoff menulis antara lain beliau menyebut bahawa bahasa yang digunakan dalam falsafah dan sains dalam beberapa hal saling melingkupi. Namun begitu, bahasa yang digunakan dalam falsafah cuba untuk berbicara mengenai ilmu pengetahuan malahan apa yang harus diperkatakan oleh seorang ahli sains mungkin penting pula bagi seorang ahli falsafah.

Selain itu, beliau juga mengatakan falsafah dalam usahanya mencari jawapan terhadap pertanyaan pokok yang kita ajukan adalah harus memperlihatkan hasil-hasil sains. Sains dalam usaha untuk menemukan rahsia alam kudrat haruslah mengetahui anggapan kefalsafahan. Falsafah mempersoalkan istilah-istilah pokok daripada sains dengan suatu cara yang berada dari luar tujuan dan kaedah sains.

Sehubungan itu, Harold H. Titus menerangkan bahawa sains mengisi falsafah dengan sejumlah benda yang faktual dan deskriptif yang perlu dalam pembinaan falsafah. Sesungguhnya falsafah pula pada suatu masa yang cenderung untuk mencerminkan tinjaun ilmiah tersebut.

Dalam Islam tidak ada pertentangn antara sains, falsafah dan agama kerana sains dan falsafah yang benar ialah dari usaha manusia dengan kekuatan akal budinya yang relatif hasil untuk memahami kenyataan alam iaitu susunan alam. Pembahagian alam, bahagian-bahagian alam dan hukum (yang berlaku bagi) alam. Al-quran (ayat Al-Quraniyyah) adalah pembukuan segenap ayat alam semesta (ayat Al-Kauniyyah) dalam satu kitab. Kedua-dua ayat ini saling menafsirkan. Satu penafsiran terhadap yang lain tidak akan pernah berlawan, kerana ke dua-duanya berasal daripada Allah s.w.t, yang pertama firman Allah dan yang kedua ciptaan Allah s.w.t.

KESIMPULAN 

Setelah membuat beberapa kajian tentang hubungan ilmu falsafah dan ilmu sains dari pelbagai aspek. Jelaslah disini ilmu falsafah tidak boleh dipisahkan dengan ilmu sains. Biarpun ada beberapa hal yang membezakan, namun ia tidak memberi kesan kepada hubungannya.

Ahli sains mahupun ahli falsafah hendaklah memahami atau mendalami ilmu pengetahuan tentang kedua-dua bidang ini. Supaya ia tidaklah kelihatan bercanggah apabila membuat suatu kajian dan supaya ia lebih kelihatan sempurna.

Bagi menyempurnakan lagi suatu kajian itu perlulah dihubungkan dengan agama. Hal ini sangat penting bagi seorang muslin itu agar tidak terpesong dari pegangan akidah Islam itu seperti telah diakui oleh Sir James Jeans. Jelaslah bahawa jalan keluar daripada kebuntuan ini ialah dengan kembali kepada kebenaran dan kepada jalan Islam yang lurus. Tetapi kembali kepada Islam tidak bermakna kembali kepada Islam popular atau “Islam baka”.

Sejarah telah menunjukkan ada beberapa agama yang mengongkong ilmu pengetahuan dan akal. Bahkan dunia moden Barat yang lahir dari Renaissance persis adalah hasil perjuangan-perjuangan pahit menentang teologi Kristen yang menekan dan sempit. Sejarah demikian tidak boleh dan tidak akan diulang.

Agama Islam yang dimaksudkan adalah agama seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat Quran yang telah disebutkan. Daripada ajaran-ajaran agama seperti inilah kita boleh mengembang dan menyempurnakan suatu falsafah saintifik yang utuh yang boleh menjadi landasan kuat kepada perkembangan sains sosial dan malah semua ilmu.

Secara ringkasnya, falsafah adalah merupakan suatu bidang ilmu yang besar dan merupakan induk kepada segala ilmu. Sekaligus meletakkan ia sebagai ilmu penting bagi semua ilmu. Kesimpulannya falsafah adalah diperlukan dalam bidang sains dan kedua-dua ilmu ini adalah saling berhubungan. Jadi hubungan antara falsafah dengan ilmu sains adalah wujud.




No comments:

Post a Comment